2025, Media

Jelajah Wira LTAT 2025: Memperkasa Celik Kewangan dan Perlindungan Sosial Wira-Wirawati Negara

Fokus utama:

  • LTAT memperkasa lebih 7,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di empat negeri utara melalui program celik kewangan dan perlindungan sosial; dan
  • LTAT serta Syarikat Kumpulan LTAT melancarkan pelbagai inisiatif kolaboratif yang memberi manfaat langsung kepada warga dan keluarga ATM.

SUNGAI PETANI, 11 OKTOBER 2025 – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (“LTAT”) hari ini meluncurkan Jelajah Wira LTAT 2025: Edisi Utara, edisi ketiga siri jelajah utama LTAT yang sebelum ini dikenali sebagai Minggu Bersama Pencarum (“MBP”). Peluncuran ini menandakan satu lagi langkah penting dalam komitmen berterusan LTAT untuk menghargai serta memperkasa warga Angkatan Tentera Malaysia (“ATM”).

Sebagai platform libat urus utama LTAT, Jelajah Wira LTAT memberi ruang interaksi secara langsung bersama warga ATM bagi meningkatkan kesedaran tentang celik kewangan, perlindungan sosial dan persediaan ke arah persaraan. Program ini juga memperkukuh penyelarasan LTAT dengan kerangka Ekonomi MADANI melalui pelbagai inisiatif pemerkasaan yang memberi manfaat langsung kepada warga ATM dan keluarga mereka.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Pertahanan Malaysia, di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah. Meneruskan kejayaan siri terdahulu di Sarawak dan Zon Selatan yang telah melibatkan hampir 10,000 warga ATM, Edisi Utara akan berlangsung di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak dari 11 hingga 25 Oktober 2025, menyasarkan penyertaan lebih 7,000 anggota daripada 35 kem tentera merangkumi ketiga-tiga cabang perkhidmatan.

Memperkasa Kesejahteraan Kewangan dan Perlindungan Sosial yang Mampan

Pelaksanaan Jelajah Wira LTAT 2025: Edisi Utara ini bertepatan dengan sambutan Bulan Celik Kewangan 2025, selaras dengan inisiatif Kerajaan untuk memperkukuh pendidikan kewangan di seluruh negara melalui pendekatan whole-of-nation yang inklusif, inovatif dan menyeluruh, berteraskan tema “Bijak Sekarang, Masa Depan Terjamin”.

Seiring dengan aspirasi tersebut, LTAT terus memainkan peranan aktif dalam mempertingkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan warga ATM melalui pelaksanaan program pendidikan yang mudah diakses, relevan dan memberi impak yang signifikan.

Sejak diperkenalkan pada Disember 2023, Program Taklimat Pencarum dan Celik Kewangan LTAT telah menjangkau lebih 40,000 warga ATM di seluruh negara, membekalkan ilmu serta kemahiran pengurusan kewangan yang penting bagi membina masa depan yang lebih stabil dan mampan. Lebih daripada sekadar segmen program, literasi kewangan kini menjadi antara teras utama dalam agenda libat urus LTAT, dilaksanakan secara berterusan melalui sesi taklimat di kem bagi memastikan setiap pencarum dan keluarga mereka berupaya membuat keputusan kewangan yang bijak serta memanfaatkan sepenuhnya kelebihan caruman mereka.

Edisi Utara turut menyaksikan peluncuran beberapa inisiatif utama oleh Syarikat Kumpulan LTAT, termasuk Inisiatif Sekolah Angkat MADANI oleh Pharmaniaga yang menyokong pembangunan infrastruktur pendidikan, kesiapsiagaan digital dan potensi pelajar di sekolah dalam kem tentera; serta Penyelesaian Kewangan AFFIN PERKASA oleh Affin Bank, satu pakej kewangan menyeluruh yang direka khas untuk warga ATM merangkumi akaun gaji, pembiayaan perumahan dan kenderaan, simpanan, pelaburan, perlindungan takaful dan peluang pembiayaan perniagaan.

Selain itu, Boustead Hotels & Resorts turut memperkenalkan Program Kesetiaan Royale Warisan, sebuah inisiatif khusus yang menawarkan ganjaran eksklusif, diskaun istimewa serta pelbagai keistimewaan kepada warga ATM dan ahli keluarga mereka.

Sebagai sebahagian daripada pengisian program, turut diadakan sesi “Inspirasi Veteran ATM” yang menampilkan kisah kejayaan keusahawanan veteran tentera, serta segmen “Celik Kewangan” bersama penceramah jemputan yang berkongsi panduan praktikal mengenai pengurusan kewangan dan persediaan persaraan. Pharmaniaga turut mengadakan ceramah kesedaran kesihatan asas, manakala Yayasan LTAT menyampaikan taklimat berkaitan bantuan pendidikan dan kebajikan untuk keluarga ATM.

Syarikat Kumpulan LTAT termasuk Kumpulan Boustead, Kumpulan Affin, BHPetrol, Boustead Plantations, Boustead Properties, Pharmaniaga, Dhaya Maju, PERNAMA, PERHEBAT dan Yayasan LTAT turut menyertai pameran reruai interaktif yang memperkenalkan produk, perkhidmatan dan peluang kepada warga ATM.

Ketua Eksekutif LTAT, En. Mohamad Ashraf Md Radzi, berkata, “Transformasi daripada Minggu Bersama Pencarum kepada Jelajah Wira LTAT mencerminkan komitmen mendalam LTAT terhadap mereka yang menjadi benteng pertahanan negara. Sebagai dana yang diamanahkan untuk menjamin masa depan kewangan warga ATM, kami menunaikan tanggungjawab ini dengan penuh iltizam dan keikhlasan.”

Kami bukan sekadar mengurus pelaburan mereka, kami turut melabur dalam kehidupan, keluarga dan masa depan mereka. Melalui edisi ketiga ini, LTAT terus memperkukuh celik kewangan, memperluas perlindungan sosial dan membina ketahanan kewangan jangka panjang untuk seluruh komuniti ATM.” tambah beliau.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Jeneral Tan Sri Haji Mohd Nizam Haji Jaffar; Panglima Angkatan Tentera, Datuk Lokman Hakim bin Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan bin Ariffin TUDM (B), YM Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim, Timbalan Panglima Tentera Darat, Laksamana Pertama Mohd Norizal bin Fahrudin, Panglima Wilayah Laut 3, dan Mejar Jeneral Dato’ Haji Fazal bin Haji Abdul Rahman, Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia.

-TAMAT-

Mengenai Lembaga Tabung Angkatan Tentera (“LTAT”)

Ditubuhkan pada Ogos 1972 di bawah Akta Tabung Angkatan Tentera (Akta 101), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (“LTAT”) adalah sebuah badan berkanun yang bertanggungjawab menguruskan dana persaraan bagi pegawai dan anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia (“ATM”) serta para veteran. Untuk maklumat lanjut mengenai LTAT, layari www.ltat.gov.my.

Muat turn Siaran Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *